Jumat, 31 Januari 2014
Polis maut bersama suspek
berita@kosmo.com.my
ANGGOTA polis mengangkat salah satu mayat mangsa kemalangan di Kulaijaya, Johor kelmarin.
KULAIJAYA - Perjalanan empat anggota polis ke Balai Polis Senai untuk membawa empat suspek kes curi dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Land Rover berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan kelmarin.
Polis sukarelawan, Konstabel Mohd. Amir Fairuz Mohd. Sobri, 21, terbunuh dalam kejadian melibatkan dua lagi kenderaan iaitu sebuah bas dan kereta Proton Iswara di Kilometer 24, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhadapan jirat Cina pada pukul 7.40 malam itu.
Selain Mohd. Amir, turut terkorban ialah seorang suspek kes curi tersebut iaitu M. Marimuthu, 38, dan pemandu kereta Proton Iswara, Rosdi Tukio, 48. Rosdi merupakan lelaki Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap.
Enam lagi yang berada di dalam Land Rover tersebut iaitu tiga lagi suspek serta tiga anggota polis cedera. Kesemua mereka kini dirawat di Hospital Temenggung Ibrahim di sini.
Difahamkan, empat suspek itu ditangkap sejam sebelum kemalangan tersebut berlaku. Mereka didakwa mencuri barangan di sebuah pasar raya di sini. Jarak antara pasar raya itu dengan tempat kejadian kira-kira lima kilometer.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohd. Idris Samsuri berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dinaiki mereka itu hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas dan kereta Proton Iswara.
"Sebelum kejadian, anggota polis terbabit dalam perjalanan ke Balai Polis Senai selepas menahan empat lelaki itu yang dikatakan telah mencuri di sebuah pasar raya berdekatan.
"Tiga lagi suspek itu kemudian dapat diberkas semula. Mereka kini ditahan untuk mendapatkan rawatan di hospital yang sama," katanya di sini semalam.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar