Jumat, 28 Februari 2014
Kewujudan JDT Kembalikan Kegemilangan Bola Sepak

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya berterima kasih kepada pasukan Johor Darul Takzim (JDT) kerana kewujudan pasukan itu membuatkan sukan bola sepak negara kembali mendapat perhatian.
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dalam satu kenyataan media berkata, bola sepak Johor juga menarik perhatian penaja terkemuka malah ramai pemain bertaraf antarabangsa kini berminat bermain dengan pasukan dari negeri itu.
“FAM tidak sepatutnya hanya mencari salah pasukan Johor sebaliknya harus berterima kasih kerana membuatkan bola sepak negara kembali mendapati perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa,” kata kenyataan itu semalam.
Kenyataan itu merujuk amaran yang dibuat oleh FAM berhubung tindakan tegas yang akan dikenakan ke atas PBNJ berikutan tindakan penyokong JDT membakar suar selepas tamat perlawanan JDT menentang Kelantan, Sabtu lalu.
Mengulas tentang amaran yang dikenakan itu, PBNJ menegaskan bahawa persatuan itu tidak akan menghalang penyokong JDT menyalakan suar selepas tamat perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Menurut kenyataan itu, stadium berkenaan dibawah bidang kuasa badan itu tetapi memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya jika ada penyokong menyalakan suar semasa perlawanan berlangsung.
Tambah kenyataan itu, pembakaran suar selepas tamat perlawanan oleh penyokong JDT itu juga tidak pernah menggugat keselamatan pemain, penyokong dan pegawai bertugas.
Kenyataan itu turut menegaskan penyokong JDT tidak pernah melakukan perkara yang buruk seperti membaling suar itu ke arah padang, pemain atau penyokong-penyokong lain.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar